Wednesday, November 2, 2011

YANG PALING CANTIK DAN PALING BAIK

Pada suatu hari di sekolah, seorang murid bertanya kepada gurunya. Pada ketika itu, guru tersebut sedang mengajar mengenai kasih sayang.



MURID : Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang? Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?



CIKGU : Okey, kamu ikut apa yang saya suruh. Kamu pergi ke padang, berjalan di atas rumput sambil memandang rumput di depan kamu. Pilih yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walau sekali. Dah petik rumput yang paling cantik, bawa ke kelas.



Apabila murid tersebut pulang ke kelas, tiada sehelai rumput pun di tangannya. Cikgu bertanya kenapa tiada rumput yang dipilih?



MURID : Tadi masa saya berjalan, saya carilah rumput yang paling cantik, memang ada banyak yang cantik. Tapi tadi cikgu kata petik yang paling cantik, maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang, saya dah tak jumpa yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya tadi rumput yang paling cantik, tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang boleh saya petik.



CIKGU : Ya, itulah jawapannya. Maknanya apabila kita telah jumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita cari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaiknya. Jangan kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap telah berlaku. Semoga yang berlaku tidak akan berulang lagi. Dan ingatlah orang yang paling kita sayang itulah yang paling cantik dan paling baik, walaupun jika diikutkan banyak lagi yang paling cantik dan paling baik daripada dia. Dengan cara ini, begitulah kasih sayang itu dapat berkekalan selama-lamanya..

No comments:

Post a Comment